Beautylicious

Beautylicious

Friday, March 18, 2016

Beringat-ingatlah dengan MASA mu

Rintik hujan sudah mula kedengaran apabila ianya menyentuh atap zink. Semakin lama, semakin kuat dentingan di atas atap yang telah menampakkan lubang-lubang kecil. Pantas tangannya menadah titisan air itu dengan besen.
Rasmona mengesat peluh di dahinya. Syukur Alhamdulillah. Sudah lama tanah yang dahulunya sentiasa hijau tidak disirami hujan rahmat.

Rasmona kembali menumpukan kepada ikan yang digorengnya diatas dapur. Nasi sudah dimasak begitu juga sup sayur. Kedengaran batuk kecil di pintu bilik. Rasmoni berpaling.

“Mona, mak nak ke tandas”, lirih sahaja suara si ibu mengadu. Kelihatan tangan kanannya memegang ampuh pada pintu bilik manakala tangan kiringa memegang kejap kain batik yang dipakainya. Batuknya kembali menyerang. Cepat-cepat Rasmona mengambil air dan memapah ibunya ke kerusi di depan televisyen.

“Mak, kan Mona sudah bagitahu, panggil Mona kalau nak apa-apa, mak kan tidak sihat”, ulas Rasmona sambil mengurut-ngurut belakang ibunya.

“Ishh..mak bukannya langsung tidak boleh bangun. Lagipun, mak tak mahu terlalu bergantung dengan Mona. Mak masih kuat. Jangan risau”, Mak Salmah menyuakan kembali gelas tersebut kepada anak gadisnya.

Mak Salma mempunyai 3 orang anak. Anak yang sulung bekerja di Kuala Lumpur manakala yang kedua bekerja di Johor Baharu. Kedua-duanya lelaki. Namun, sangat jarang sekali anak-anak lelakinya pulang ke kampung. Suaminya sudah lama meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya 6 tahun yang lepas. Tinggallah Mak Salmah dan anak bongsunya di kampung. Rasmona terpaksa melepaskan impiannya untuk melanjutkan pelajaran ke universiti kerana ibunya. Dia redha dan yakin, Allah mempunyai perancangan yang lebih baik baginya.

“Mak, bilalah agaknya Abang Radzi dan Abang Rizal nak balik kan. Mona rindulah dengan Along dan angah. Balik pun sekejap saja”, Rasmona mengeluh perlahan. Mak Salmah hanya diam membatu. Sungguh, hati seorang ibu. Tiada siapa yang tahu akan rindunya yang mendalam terhadap anak-anaknya. Namun, hanya mampu dipendam.

“Tidak apalah mona. Mereka sibuk tu. Ada masa nanti, baliklah abang-abang kamu tu”, pujuk Mak Salmah sambil membelai rambut Rasmona. ‘Mak pun rindu dengan anak-anak mak’. Terasa matanya mula bertakung.

----
Kringg…kringg..
Deringan smartphonnya sedari tadi tidak sedikit pun mengugat fokus Radzi kepada kerjanya. Deringan itu sudah hampir 8 kali. Radzi yang bekerja sebagai Arkitek sememangnya dikenali sebagai seorang pekerja yang sangat berdedikasi. Pencapaiannya sering kali dicemburui oleh rakan  sekerjanya yang lain.

Deringan tadi terdiam seketika. Kembali bordering. Radzi mengeluh berat. ‘siapalah yang asyik call tak henti-henti’.

“Hello,Radzi’s here”,
“Along..” Radzi tersentak. Suara satu-satunya adik perempuannya kedengaran dihujung talian.
“Adik..kan along sudah pesan, kalau nak call, call lepas waktu office. Along banyak kerja perlu siapkan”, bebel Radzi sambil tangannya membelek-belek kertas yang bersepah di atas mejanya.

“Along..mak along…” kedengaran esak tangis yang tanpa ditahan-tahan.
“Kenapa ni adik? Kenapa dengan mak?”
“Mak sudah meninggal”
Radzi terpempan mendengarnya. Dia terasa bagaikan batu besar yang menghempap kepalanya membuatkan dia terasa gelap mata. Ya Allah..

“Along..baliklah along. Mak baru saja meninggal. Adik seorang-seorang dekat hospital ni. Adik dah cuba telefon angah tapi handphone dia off.” Rasmona hanya mampu berserah kepada Allah. Tidak dapat diingatkan bagaimana perasaannya melihat ibunya pergi tanpa ada anak-anak disisi.

“Adik tunggu, along gerak sekarang. Along balik sekarang.”

Radzi mencapai walletya dan kunci kereta lalu berlari keluar daripada pejabatnya. Ya Allah, aku tak sempat nak tengok mak aku, Ya Allah. Matanya sudah basah. Terasa tangannya mengigil mahu memulas kunci dan menghidupkan enjin kereta. Perjalanan ke kampung mengambil masa 2 jam. Namun, Radzi menekan minyak seboleh mungkin.

Sudah separuh perjalanan, Radzi teringat akan adiknya Rizal lalu cuba menelefon. Nasibnya baik, deringan kedengaran.
“Hello, Haa, along kenapa?”
“Angah, kau balik kampung sekarang. Along on the way sekarang ni”
“Lahh..dah kenapa dengan kau. Angah ada event la sekarang ni”
“Angahh, mak dah meninggal. Mak dah tak ada angah. Balik sekarang!”

Terus taliannya ditutup. Radzi beristighfar. Sesungguhnya dia merasa menyesal. Ya Allah, sesungguhnya aku bukanlah anak yang baik.

Sudah seminggu, Mak Salmah pergi. Segala urusan pengkebumian berjalan dengan lancar. Tahlil juga dibuat 3 hari 3 malam. Kesedihan yang menyapa hati Radzi bukanlah kesedihan berpisah dengan ibunya tetapi kesedihan kerana tidak mampu berbagi masa bersama arwah ibunya. Sungguh, itulah penyesalan yang tidak mampu untuk dibetulkan semula.

“Sudahlah Radzi. Benda yang lepas, tidak boleh diubah. Kita yang masih hidup ini, kena teruskan hidup dan ambil iktibar. Jangan lupa, ibu bapa kita ternanti-nanti doa anak-anaknya apabila mereka sudah di alam sana. Sedekahkan selalu doa dan sedekah untuk mereka disana. Mudah-mudahan, tenanglah mak dan ayah kamu disana”, Imam Daud menepuk perlahan bahu Radzi yang hanya diam membisu.

“Saya bukan anak yang baik, pak Imam. Saya gagal jalankan tanggungjawab saya sebagai seorang anak. Saya abaikan tanggungjawab pada ibu dan adik perempuan saya”, matanya terasa panas dan kembali membasahi pipinya. Dia tidak mampu berhadapan dengan adik perempuannya. Sepatutnya tanggungjawab menjaga keluarganya adalah tanggungjawabnya sebagai anak lelaki sulung. Dia adalah pengganti bapanya!.

“Radzi, belum terlambat kamu nak balas jasa ibu bapa dan adik perempuan kamu. Lepas ini, kamu berbincang dengan adik-beradik kamu. Buatlah apa yang terbaik. Ambil pengajaran. In sha Allah, Allah suka akan hamba-hambaNya yang sentiasa beringat”

Radzi mengesat air matanya dan memandang sayu Imam Daud. Jika ayahnya masih ada, sudah tentu ayahnya sebaya dengan Imam Daud. Imam Daud tersenyum sambil menepuk-nepuk bahu Radzi.

“Terima kasih Pak Imam. Saya janji, saya tidak akan sia-siakan tanggungjawab saya pada adik-adik saya”,
“Alhamdulillah..semoga Allah memberkati kamu adik-beradik. Beringat-ingatlah dengan masa kerana masa tidak akan menunggu kita. Kita yang perlu kawal dia. In sha Allah.”

Radzi menganggukkan kepalanya. Hatinya terasa tenang sedikit. ‘Mak, Along janji mak, Along akan jaga adik-adik. Abah, Along minta maaf”.


No comments:

Post a Comment