Rintik hujan sudah mula kedengaran apabila
ianya menyentuh atap zink. Semakin lama, semakin kuat dentingan di atas atap
yang telah menampakkan lubang-lubang kecil. Pantas tangannya menadah titisan
air itu dengan besen.
Rasmona mengesat peluh di dahinya. Syukur
Alhamdulillah. Sudah lama tanah yang dahulunya sentiasa hijau tidak disirami
hujan rahmat.
Rasmona kembali menumpukan kepada ikan yang
digorengnya diatas dapur. Nasi sudah dimasak begitu juga sup sayur. Kedengaran
batuk kecil di pintu bilik. Rasmoni berpaling.
“Mona, mak nak ke tandas”, lirih sahaja suara
si ibu mengadu. Kelihatan tangan kanannya memegang ampuh pada pintu bilik
manakala tangan kiringa memegang kejap kain batik yang dipakainya. Batuknya
kembali menyerang. Cepat-cepat Rasmona mengambil air dan memapah ibunya ke
kerusi di depan televisyen.
“Mak, kan Mona sudah bagitahu, panggil Mona
kalau nak apa-apa, mak kan tidak sihat”, ulas Rasmona sambil mengurut-ngurut
belakang ibunya.
“Ishh..mak bukannya langsung tidak boleh
bangun. Lagipun, mak tak mahu terlalu bergantung dengan Mona. Mak masih kuat.
Jangan risau”, Mak Salmah menyuakan kembali gelas tersebut kepada anak
gadisnya.
Mak Salma mempunyai 3 orang anak. Anak yang
sulung bekerja di Kuala Lumpur manakala yang kedua bekerja di Johor Baharu.
Kedua-duanya lelaki. Namun, sangat jarang sekali anak-anak lelakinya pulang ke
kampung. Suaminya sudah lama meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya 6
tahun yang lepas. Tinggallah Mak Salmah dan anak bongsunya di kampung. Rasmona
terpaksa melepaskan impiannya untuk melanjutkan pelajaran ke universiti kerana
ibunya. Dia redha dan yakin, Allah mempunyai perancangan yang lebih baik
baginya.
“Mak, bilalah agaknya Abang Radzi dan Abang
Rizal nak balik kan. Mona rindulah dengan Along dan angah. Balik pun sekejap saja”,
Rasmona mengeluh perlahan. Mak Salmah hanya diam membatu. Sungguh, hati seorang
ibu. Tiada siapa yang tahu akan rindunya yang mendalam terhadap anak-anaknya.
Namun, hanya mampu dipendam.
“Tidak apalah mona. Mereka sibuk tu. Ada masa
nanti, baliklah abang-abang kamu tu”, pujuk Mak Salmah sambil membelai rambut
Rasmona. ‘Mak pun rindu dengan anak-anak mak’. Terasa matanya mula bertakung.
----
Kringg…kringg..
Deringan smartphonnya sedari tadi tidak
sedikit pun mengugat fokus Radzi kepada kerjanya. Deringan itu sudah hampir 8
kali. Radzi yang bekerja sebagai Arkitek sememangnya dikenali sebagai seorang
pekerja yang sangat berdedikasi. Pencapaiannya sering kali dicemburui oleh
rakan sekerjanya yang lain.
Deringan tadi terdiam seketika. Kembali
bordering. Radzi mengeluh berat. ‘siapalah yang asyik call tak henti-henti’.
“Hello,Radzi’s here”,
“Along..” Radzi tersentak. Suara satu-satunya
adik perempuannya kedengaran dihujung talian.
“Adik..kan along sudah pesan, kalau nak call,
call lepas waktu office. Along banyak kerja perlu siapkan”, bebel Radzi sambil
tangannya membelek-belek kertas yang bersepah di atas mejanya.
“Along..mak along…” kedengaran esak tangis
yang tanpa ditahan-tahan.
“Kenapa ni adik? Kenapa dengan mak?”
“Mak sudah meninggal”
Radzi terpempan mendengarnya. Dia terasa
bagaikan batu besar yang menghempap kepalanya membuatkan dia terasa gelap mata.
Ya Allah..
“Along..baliklah along. Mak baru saja
meninggal. Adik seorang-seorang dekat hospital ni. Adik dah cuba telefon angah
tapi handphone dia off.” Rasmona hanya mampu berserah kepada Allah. Tidak dapat
diingatkan bagaimana perasaannya melihat ibunya pergi tanpa ada anak-anak
disisi.
“Adik tunggu, along gerak sekarang. Along
balik sekarang.”
Radzi mencapai walletya dan kunci kereta lalu
berlari keluar daripada pejabatnya. Ya Allah, aku tak sempat nak tengok mak
aku, Ya Allah. Matanya sudah basah. Terasa tangannya mengigil mahu memulas
kunci dan menghidupkan enjin kereta. Perjalanan ke kampung mengambil masa 2
jam. Namun, Radzi menekan minyak seboleh mungkin.
Sudah separuh perjalanan, Radzi teringat akan
adiknya Rizal lalu cuba menelefon. Nasibnya baik, deringan kedengaran.
“Hello, Haa, along kenapa?”
“Angah, kau balik kampung sekarang. Along on
the way sekarang ni”
“Lahh..dah kenapa dengan kau. Angah ada event
la sekarang ni”
“Angahh, mak dah meninggal. Mak dah tak ada
angah. Balik sekarang!”
Terus taliannya ditutup. Radzi beristighfar.
Sesungguhnya dia merasa menyesal. Ya Allah, sesungguhnya aku bukanlah anak yang
baik.
Sudah seminggu, Mak Salmah pergi. Segala urusan
pengkebumian berjalan dengan lancar. Tahlil juga dibuat 3 hari 3 malam. Kesedihan
yang menyapa hati Radzi bukanlah kesedihan berpisah dengan ibunya tetapi
kesedihan kerana tidak mampu berbagi masa bersama arwah ibunya. Sungguh, itulah
penyesalan yang tidak mampu untuk dibetulkan semula.
“Sudahlah Radzi. Benda yang lepas, tidak
boleh diubah. Kita yang masih hidup ini, kena teruskan hidup dan ambil iktibar.
Jangan lupa, ibu bapa kita ternanti-nanti doa anak-anaknya apabila mereka sudah
di alam sana. Sedekahkan selalu doa dan sedekah untuk mereka disana.
Mudah-mudahan, tenanglah mak dan ayah kamu disana”, Imam Daud menepuk perlahan
bahu Radzi yang hanya diam membisu.
“Saya bukan anak yang baik, pak Imam. Saya gagal
jalankan tanggungjawab saya sebagai seorang anak. Saya abaikan tanggungjawab
pada ibu dan adik perempuan saya”, matanya terasa panas dan kembali membasahi
pipinya. Dia tidak mampu berhadapan dengan adik perempuannya. Sepatutnya
tanggungjawab menjaga keluarganya adalah tanggungjawabnya sebagai anak lelaki
sulung. Dia adalah pengganti bapanya!.
“Radzi, belum terlambat kamu nak balas jasa
ibu bapa dan adik perempuan kamu. Lepas ini, kamu berbincang dengan
adik-beradik kamu. Buatlah apa yang terbaik. Ambil pengajaran. In sha Allah,
Allah suka akan hamba-hambaNya yang sentiasa beringat”
Radzi mengesat air matanya dan memandang sayu
Imam Daud. Jika ayahnya masih ada, sudah tentu ayahnya sebaya dengan Imam Daud.
Imam Daud tersenyum sambil menepuk-nepuk bahu Radzi.
“Terima kasih Pak Imam. Saya janji, saya
tidak akan sia-siakan tanggungjawab saya pada adik-adik saya”,
“Alhamdulillah..semoga Allah memberkati kamu
adik-beradik. Beringat-ingatlah dengan masa kerana masa tidak akan menunggu
kita. Kita yang perlu kawal dia. In sha Allah.”
Radzi menganggukkan kepalanya. Hatinya terasa
tenang sedikit. ‘Mak, Along janji mak, Along akan jaga adik-adik. Abah, Along
minta maaf”.